top of page
Search

Dulu pelajar tercorot, kini cemerlang

Updated: Dec 29, 2023

KUALA KRAI: Seramai 200 pelajar tercorot di kawasan pedalaman daerah ini berjaya mencatat keputusan lulus 100 peratus pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Pengurus Libat Urus PETRONAS Pantai Timur, Jefri Mohamed Zain, berkata kejayaan pelajar terbabit hasil menyertai Program Yayasan Petronas Empower ECER Akademik (YPeA) sesi 2022/2023.


Katanya, program itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan sebagai agensi pelaksana.



"Justeru, pencapaian yang diperoleh diharapkan menjadi batu loncatan untuk pelajar melakukan transformasi dalam hidup dan masa depan," katanya ketika ditemui selepas melawat pelajar cemerlang, Fatin Nur Aqilah Mat Soom, di Kampung Chuchoh Puteri, di sini semalam.


Turut serta, Pengurus Besar ECERDC Kelantan, Megat Shah Rizal Noor Ikhsan.

Sementara itu, Fatin Nur Aqilah, 18, berkata sebelum ini dia adalah pelajar yang tercorot, namun sebaik terpilih mengikuti program bimbingan itu, dia berjaya meraih keputusan 1A+, 4A, 1B, 1C dan 1D dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 lalu.

"Saya mengikuti program ini ketika berada di Tingkatan Empat dan menggunakan peluang yang diberikan untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM dan mahu membanggakan keluarga.


"Keadaan hidup serba kekurangan selepas kematian arwah ayah sejak empat tahun lalu, selain melihat kepenatan ibu mencari rezeki untuk menyara kami sekeluarga menjadi pembakar semangat untuk saya belajar dengan bersungguh-sungguh, sekali gus mahu mengubah kehidupan keluarga," katanya.


ree


Bagaimanapun katanya, kesusahan keluarga selain kekangan kewangan menyebabkan anak penoreh getah itu menolak tawaran melanjutkan pengajian ke peringkat universiti, sebaliknya memilih menyambung pelajaran di Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yahya Petra, dekat sini.


Katanya, ayahnya, Mat Soom Abu Bakar meninggal dunia pada 2019 akibat penyakit jantung menyebabkan ibunya, Moraini Ismail, 52, menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan bekerja mengambil upah menoreh getah.


"Keputusan SPM 2022 yang diperoleh melayakkan saya melanjutkan pengajian di UiTM Shah Alam dalam jurusan Diploma Seni Lukis dan Seni Reka. Bagaimanapun, saya terpaksa menolak tawaran ini disebabkan kekangan kewangan dan mengambil keputusan menyambung pengajian di Tingkatan Enam," katanya.


Anak ketiga daripada empat beradik ini berkata, keluarganya bergantung kepada pencen arwah ayahnya yang sebelum ini berkhidmat sebagai tentera, selain upah menoreh getah yang tidak menentu kira-kira RM250 sebulan.


"Bagaimanapun, saya tidak pernah menjadikan faktor kemiskinan keluarga sebagai penghalang untuk berjaya. Arwah ayah selalu mengingatkan kami adik beradik betapa pentingnya pelajaran bagi mengubah kehidupan kami sekeluarga ke arah yang lebih baik. Saya sentiasa berpegang kepada nasihat ayah sebagai semangat untuk mencapai kejayaan.

"Saya bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik dan memberi sumber inspirasi kepada orang lain untuk sama-sama berjaya," katanya.



 
 
 

Comments


Logo Edubuzz_edited.jpg

Hubungi

Alamat

  • Syarikat EduBuzz! Publication

  • NO 1, Lot 4088 Conezion, Ioi Resort City, 62502, Putrajaya 

  • Youtube
  • Whatsapp
  • Instagram
  • Facebook
  • TikTok

© EDUBUZZ!PUBLICATION

bottom of page